salam sejahtera pada semua sahabat dan saudara

Selasa


PENDUDUK Afghanistan masih meneruskan kerja-kerja menanam pokok popi di daerah Nad-e Ali, selatan Afghanistan. Setiap tahun, Iran membelanjakan beratus juta dolar AS untuk menutup sempadan hampir 1,000 kilometer Iran-Afghanistan yang menjadi pintu keluar utama candu dan heroin ke pasaran antarabangsa. - AFP

 POLIS baru-baru ini mendedahkan bahawa kumpulan mafia yang terkenal dengan organisasi jenayah pengedaran dadah antarabangsa dikesan melebarkan sayapnya ke negara ini.
Perkara berkenaan terbongkar apabila tiga warganegara Iran ditahan di ibu negara. Bagi tahun 2010, sehingga kini seramai 41 warga Iran ditahan di negara ini kerana menyeludup dadah.
Pada 9 Februari lalu, polis menahan tujuh rakyat Iran termasuk seorang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Damansara dalam lima kes berasingan, serta merampas 15.5kg dadah jenis syabu bernilai RM3.9 juta.
Sehari sebelum itu, polis berjaya menggagalkan sembilan cubaan menyeludup masuk syabu ke negara ini yang didalangi oleh dua sindiket warga Iran setelah menahan 34 rakyat negara itu dan merampas 42 kilogram syabu bernilai RM10.5 juta.
Mereka ditahan sama ada ketika melalui pemeriksaan di KLIA atau ketika melakukan transaksi di hotel-hotel terkemuka di ibu negara.
Polis turut melahirkan rasa terkejut dengan jumlah tangkapan dan nilai rampasan dadah yang tinggi dalam tempoh begitu singkat.
Ini kerana hanya seramai 24 warga Iran ditangkap bersama sejumlah 16.8 kilogram syabu sepanjang tahun lalu.
Duta Iran ke Malaysia, Prof. Dr. Mohammad Mehdi Zahedi ketika mengulas perkara berkenaan dalam temu bual dengan agensi berita Bernama berkata, negaranya komited membanteras penyeludupan dadah.
Mohammad Mehdi turut berharap akan ada kerjasama di antara Malaysia, Iran dan polis antarabangsa bagi membongkar kumpulan mafia antarabangsa yang beliau rasakan terlibat dalam penyeludupan dadah ke Malaysia oleh warga Iran.
Beliau menjelaskan komitmen dan tanggungjawab Iran dalam menentang dadah bukan sekadar berkaitan keselamatan negara berkenaan sahaja tetapi dari aspek kemanusiaan. Ini kerana usaha Iran untuk mengelakkan negaranya daripada menjadi transit dadah akan turut menghalang kemasukan dadah ke negara lain.
Iran sememangnya sentiasa berusaha untuk mengawal kegiatan penyeludupan dadah.
Setiap tahun negara berkenaan membelanjakan beratus juta dolar Amerika Syarikat (AS) untuk menutup sempadan hampir 1,000 kilometer Iran-Afghanistan yang menjadi pintu keluar utama candu dan heroin ke pasaran antarabangsa.
Afghanistan menghasilkan lebih daripada 90 peratus pasaran candu dunia iaitu bahan mentah untuk menghasilkan dadah jenis heroin.
Sebahagian besar daripada candu Afghanistan ditanam di wilayah-wilayah yang dikategorikan sebagai paling tidak selamat.
Afghanistan, Iran dan Pakistan pernah dinamakan Golden Crescent ekoran aktiviti penanaman candu yang meluas pada masa suatu masa dulu.
Namun selepas itu, Golden Triangle iaitu segitiga Myanmar, Laos dan Thailand di Asia Tenggara mengatasi Golden Crescent.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan semakin tidak selamat sesebuah kawasan di Afghanistan maka semakin tinggi aktiviti penanaman candu di kawasan tersebut.
Perdagangan candu juga agak sukar untuk dikawal di Afghanistan kerana ia bagaikan sudah sebati dengan masyarakat tersebut.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Jenayah dan Dadah (UNODC) berkata, 60 peratus daripada dadah yang dihasilkan di Afghanistan dan cuba diseludup ke Iran adalah bagi pasaran Kesatuan Eropah dan AS.
Biarpun laporan berkenaan menganggarkan pengeluaran candu Afghanistan bagi 2010 akan menurun, Iran tetap memastikan usaha membanteras penyeludupan dadah ke negaranya ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Para pegawai di Iran menganggarkan kos untuk mengawal masalah penagihan dan penyeludupan dadah di negara tersebut boleh mencecah AS$1 bilion (RM3.4 bilion) setahun tidak lama lagi.
Terdapat juga laporan yang mengatakan dalam tempoh 30 tahun ini, lebih 3,300 tentera dan polis Iran terbunuh dalam operasi membanteras penyeludupan dadah di sempadan tersebut.
Menteri Dalam Negeri Iran, Mostafa Mohammad Najjar sebelum ini berkata, terusan-terusan yang dalam dan lebar, dinding-dinding konkrit dan benteng-benteng akan dibina sepanjang sempadan Iran untuk menghalang aktiviti penyeludupan.
PBB turut menyenaraikan Iran pada kedudukan paling tinggi dalam senarai negara-negara yang menghalang kemasukan dadah dan mengurangkan permintaan narkotik.
''Pasukan keselamatan Iran menghadapi risiko kehilangan nyawa dalam menghalang kemasukan kargo-kargo dadah, kumpulan-kumpulan penyeludup dan pelbagai organisasi untuk menyelamatkan bukan sahaja belia Iran tetapi mereka yang tinggal di negara lain daripada ancaman dadah," kata satu laporan PBB.
Usaha Iran dalam menghalang penyeludupan dadah melalui negaranya perlu disokong oleh banyak negara.
Usaha itu juga diharapkan secara tidak langsung dapat membersihkan Malaysia daripada imej transit penyeludupan dadah ekoran rampasan dadah yang tinggi kebelakangan ini.

Tiada ulasan: